Penjawat awam Kelantan tak ambil vaksin berdepan tindakan tatatertib


  • Primer
  • Rabu, 03 Nov 2021

SETAKAT ini, kurang daripada 20 peratus penjawat awam di Kelantan yang masih belum menerima vaksin. — Bernama

SEMUA penjawat awam Negeri Kelantan diwajibkan mengambil suntikan vaksin Covid-19 dan sekiranya ada yang enggan berbuat demikian, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, tempoh pelaksanaan tindakan terhadap penjawat awam yang enggan menerima suntikan vaksin itu akan ditentukan kemudian.

"Pendekatan kerajaan negeri ketika ini kepada mereka yang enggan mengambil vaksin lebih terarah kepada nasihat dan kita akan cuba membantu mendengar permasalahan mereka.

"Ketika ini kurang daripada 20 peratus sahaja penjawat awam di negeri ini yang masih belum menerima vaksin," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, Kota Bharu pada Rabu.

Mengulas lanjut, Dr Izani berkata, keputusan itu juga sebagai antara pendekatan bagi memastikan Kelantan dapat beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) berikutan jumlah individu yang lengkap vaksinasi di negeri itu sudah mencapai kira-kira 86 peratus.

"Kalau kita melawan, tidak mahu mengambil vaksin dan memberi pelbagai alasan, kita sebenarnya melambatkan hasrat kerajaan untuk melaksanakan PPN dengan jayanya," kata beliau.

Menurut data COVIDNOW setakat Selasa, Kelantan merekodkan kes harian positif Covid-19 kedua tertinggi iaitu 688 manakala penggunaan katil di hospital pula mencatatkan 80.3 peratus. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

penjawat awam, kelantan, vaksin, wajib, PPN