600,000 warga Kelantan bakal terima dos penggalak


  • Primer
  • Selasa, 02 Nov 2021

DOS penggalak akan diberikan kepada petugas barisan hadapan, golongan warga emas dan komorbid. — Bernama

KERAJAAN Negeri Kelantan menyasarkan 600,000 individu yang terdiri daripada petugas barisan hadapan, golongan warga emas dan komorbid di negeri itu akan menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, sehingga kini, lebih 12,000 individu membabitkan kumpulan itu sudah menerima suntikan dos tersebut sejak ia mula dilaksanakan pada Oktober lalu.

"Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan turut memberi peluang kepada barisan exco dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menerima dos penggalak memandangkan mereka juga termasuk dalam golongan barisan hadapan.

"Saya juga ingin menyeru kepada semua lapisan masyarakat agar mendukung aspirasi kerajaan untuk mendapatkan dos penggalak kerana ia bukan perkara baharu memandangkan kita telah didedahkan dengan pelbagai vaksin sejak 1960-an lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pusat pemberian vaksin dos penggalak di Dewan Teratai Kompleks Kota Darulnaim pada Selasa dengan diiringi Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat.

Mengulas isu tenaga pengajar sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan yang enggan menerima vaksin, Dr Izani berkata, perkara itu tidak seharusnya berlaku dan meminta individu terbabit menilai semula keputusan mereka.

Beliau berkata, segala keputusan membabitkan vaksin Covid-19 di Malaysia dibuat berdasarkan kerjasama dan penilaian pakar perubatan serta agama.

"Setakat ini, telah terbukti bahawa vaksin Covid-19 memberikan kelebihan dan keselamatan kepada rakyat. Tidak perlu ada keraguan kerana negara kita mempunyai pelbagai kepakaran untuk membuat keputusan terutama membabitkan vaksin, kerajaan tidak mengambil mudah untuk merisikokan rakyat.

"Jadi, bagi mereka yang enggan menerima vaksin, kena fikir sekali lagi sebab kita berada dalam negara yang mempunyai undang-undang dalam semua perkara. Setakat ini, kita telah ambil pendekatan berjumpa dan menasihati,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa seramai 135 orang atau kira-kira lima peratus daripada 2,600 tenaga pengajar terbabit enggan menerima suntikan vaksin Covid-19. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram