Vaksin penjawat awam: Bukan menzalimi tapi melindungi semua


  • Primer
  • Isnin, 01 Nov 2021

SAARANI berkata, penjawat awam dan juga rakyat Perak yang belum divaksin seharusnya berlapang dada dan mengetepikan apa jua pandangan dengan menghadirkan diri ke PPV untuk divaksinasi. —The Star

DATUK Saarani Mohamad menegaskan, gesaan supaya penjawat awam mengambil vaksin Covid-19 adalah tindakan bagi melindungi masyarakat secara keseluruhan dan bukannya menzalimi mereka.

Menteri Besar Perak itu berkata, penjawat awam dan juga rakyat di negeri ini yang belum divaksin, seharusnya berlapang dada dan mengetepikan apa jua pandangan dengan menghadirkan diri ke pusat pemberian vaksin (PPV) untuk divaksinasi.

"Di Perak, selagi ada yang tidak mahu ambil vaksin, berkeliaran, maka peluang untuk dijangkiti dan menjangkiti itu sangat tinggi. Ia bukan kes terpencil, kita bukan ingin menzalimi tetapi melindungi. Kita bukan paksa tetapi kakitangan kerajaan terikat dengan peraturan yang ada.

"Tindakan ke atas penjawat awam ini dibuat kerana kerajaan mengambil kira bahawa golongan ini berpeluang mendapat jangkitan dan menyebabkan orang lain dijangkiti. Ini termasuk guru, yang di kaunter, sentiasa berhadapan dengan orang ramai," katanya.

Arahan untuk penjawat awam mengambil vaksin adalah selaras pekeliling awam Persekutuan bahawa mereka yang gagal melengkapkan imunisasi Covid-19 boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan mulai Isnin.

Saarani berkata, adalah satu perkara yang malang jika usaha kerajaan Persekutuan dan negeri untuk mengekang penularan Covid-19 serta kesedaran terhadap pentingnya vaksinasi ini tidak dipandang serius oleh sesetengah pihak termasuk penjawat awam yang masih belum divaksin.

"Ini perkara malang kerana kita bertungkus lumus mengatasi penularan Covid-19. Tidak adil kepada orang yang telah ambil vaksin. Kita faham kalau ada masalah kesihatan, alahan tetapi yang sengaja tidak ambil vaksin ini akan menyusahkan orang lain," tegasnya.

Pada 14 Oktober lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud dilaporkan berkata, kira-kira 300 guru sekolah di Perak masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang diperoleh, guru-guru ini masih menunggu tarikh janji temu menerusi aplikasi MySejahtera dan ada antara mereka yang belum membuat pendaftaran bagi vaksinasi.

Ditanya mengenai status Perak untuk beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), Saarani berkata, kerajaan negeri optimis untuk mencapainya secepat mungkin berdasarkan momentum penurunan kes jangkitan Covid-19, seperti yang dicatatkan Ahad iaitu hanya 224 kes.

Sehingga Ahad, Perak telah mencapai 85.7 peratus populasi dewasa lengkap divaksin dan seramai 1.75 juta rakyat negeri ini telah lengkap menerima dua dos. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

penjawat awam, vaksin, Covid-19