VARIETI padi MRQ 103, beras wangi dengan indeks glisemik (GI) rendah yang baik untuk kesihatan terutama bagi pesakit kencing manis dihasilkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Ketua Pengarahnya Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, varieti padi itu merupakan antara strategi MARDI bagi menyediakan varieti padi berimpak tinggi di samping dapat menjaga kesihatan orang ramai.
"Ketika ini varieti padi itu berada di peringkat akhir kajian dan ia dihasilkan selepas proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) sejak 2009 oleh pakar, ia akan memberi manfaat kepada petani dalam meningkatkan pendapatan mereka dan membantu meningkatkan pengeluaran beras negara.
"Varieti ini termasuk dalam beras istimewa dan kerajaan menerusi Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) berusaha memperkukuhkan beras istimewa untuk tujuan pasaran tempatan serta eksport kerana ia mempunyai nilai tambah iaitu bukan sahaja beras wangi malah baik untuk kesihatan," katanya.
Mohamad Zabawi berkata, varieti padi MRQ 103 itu dijangka diperkenalkan di pasaran menjelang tahun depan dan ketika ini pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat pengilang bagi mengeluarkan benih tersebut.
"Kami sedang mencari syarikat pengilang yang bersesuaian kerana benih varieti ini tidak boleh bercampur dengan beras-beras lain, ia lebih istimewa kerana GI rendah dan bagus untuk menjaga kesihatan terutama bagi pesakit kencing manis," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, MARDI juga sentiasa bersedia bekerjasama dengan sektor swasta bagi mengembangkan teknologi moden dalam usaha membantu kumpulan sasar membabitkan petani dan pesawah.
"Kejuruteraan pertanian adalah bidang penting dalam industri agromakanan dan kami juga mempergiatkan pemodenan dan pertanian pintar untuk meningkatkan penerimagunaan teknologi dan automasi dalam sektor agromakanan, mewujudkan ekosistem yang kondusif dan mempergiat program serta aktiviti inovasi untuk menyokong kemajuan agroteknologi," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram