Pemandu e-hailing di Pontian mengaku bersalah bantu ah long ugut peminjam


KEDUA-dua pertuduhan ini mengikut Seksyen 29AA  Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan boleh dihukum mengikut akta sama. — Sinar Harian

PEMANDU e-hailing di Pontian, Johor, Mohd Fakhrul Faiz Mohd Nor, 32 mengaku bersalah atas tuduhan melakukan ugutan kepada seorang peminjam serta membantu syarikat pinjaman wang tidak berlesen.

Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati pada Ahad.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohd Fakhrul Faiz bersama seorang lagi rakannya, Ridzwan Idham Abdullah, 26, yang turut mengaku bersalah didakwa menyimpan cat merah dan nota ugutan terhadap seorang peminjam sebuah syarikat pinjaman wang tidak berlesen.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Bayu Puteri, Johor Bahru pada 25 Oktober lalu.

Dalam masa sama, Mohd Fakhrul Faiz juga mengaku bersalah atas dakwaan membantu pemberi pinjaman wang tidak berlesen pada September lalu.

Bagi pertuduhan ini, tertuduh didakwa menjalankan aktiviti membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen yang sah dengan membuat kutipan dan memberi akaun bank miliknya bagi urusan pembayaran pinjaman wang tidak berlesen seorang peminjam.

Kedua-dua pertuduhan ini mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan boleh dihukum mengikut akta sama.

Sekiranya disabitkan bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram