Tiga didakwa ambil balak di Pekan tanpa lesen


PEGUAM merayu jaminan RM20,000 seorang kepada ketiga-tiga anak guamnya dikurangkan, atas alasan pendapatan kesemua tertuduh hanya sekitar RM3,000 ke RM1,500 dan digunakan untuk menanggung keluarga. — The Star

AKIBAT dituduh mengambil balak di tanah milik kerajaan di Pekan pada minggu lalu, seorang kontraktor dan dua buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang pada Jumaat.

Pengakuan Muhammad Saffrin Ahmad, 36, Ahmad Mustaim Muhamad, 30, dan Muhammad Taufik Hidayah Talib, 39, direkodkan di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majib.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan membawa 43 tual balak dari hutan di Kampung Perlak, Mukim Penyor di Pekan tanpa lesen yang sah pada 3.30 petang 21 Oktober lepas.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perhutanan Negara 1984 yang diguna pakai di Pahang yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, peguam Mohd Faizal Hiqram Azmi merayu jaminan RM20,000 seorang kepada ketiga-tiga anak guamnya dikurangkan, atas alasan pendapatan kesemua tertuduh hanya sekitar RM3,000 ke RM1,500 dan digunakan untuk menanggung keluarga.

Shahrul Rizal membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang dan menetapkan 18 November ini sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Negeri Pahang Afidatul Azwa Kamarulanuar. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

balak, Mahkamah, kontraktor