KPM umum SOP baharu proses penggiliran sekolah


  • Primer
  • Jumaat, 29 Okt 2021

PENGOPERASIAN akan dikekalkan secara penggiliran bagi institusi pendidikan bawah KPM yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa. — The Star

INSTITUSI pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa dibenarkan beroperasi tanpa penggiliran mulai 8 November ini.

KPM dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama-sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), dengan mengambil kira kadar vaksinasi dalam kalangan murid kelas peperiksaan.

Katanya, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa hadir tanpa penggiliran bagi negeri Kumpulan A membabitkan negeri Johor, Kedah, Kelantan, dan Terengganu, manakala Kumpulan B membabitkan negeri Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya akan bermula 8 November 2021.

"Pengoperasian bagi negeri Kumpulan A juga bermula pada 8 November 2021 kerana 7 November 2021 adalah cuti tambahan sempena perayaan Deepavali yang diperuntukkan dalam Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021 bagi sekolah bawah KPM.

"Pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi kelas peperiksaan awam dan antarabangsa melibatkan kehadiran murid kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) dan murid kelas peperiksaan antarabangsa yang lain," katanya.

Tambah KPM, pengoperasian akan dikekalkan secara penggiliran bagi institusi pendidikan bawah KPM yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa.

“Walau bagaimanapun, murid Prauniversiti Semester 3 di Sekolah Sukan Malaysia, murid kelas peperiksaan awam di sekolah berasrama sepenuhnya dan murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O- Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) kekal hadir tanpa penggiliran,” katanya.

Jelasnya, pihaknya akan terus memantau dan mengemas kini senarai institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa.

Selain itu, KPM akan mengeluarkan senarai terkini institusi pendidikan bawah KPM yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus pada setiap hari Rabu.

“Justeru, mana-mana institusi pendidikan yang telah mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih akan dikeluarkan daripada senarai tersebut dan institusi boleh mula beroperasi tanpa penggiliran pada hari Ahad atau Isnin minggu berikutnya.

“KPM menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

sekolah, vaksinasi, KPM