KERAJAAN perlu bertegas dengan memastikan syarikat pengeluar arak jenama Timah benar-benar serius untuk menukar label jenama dan imej pada arak keluaran mereka, dan bukannya hanya cakap-cakap retorik sekadar menenangkan keadaan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ini kerana status Malaysia sebagai negara Islam akan terus diperlekeh jika tiada penegasan dalam isu terbabit.
"Isu nak tukar nama ni perlu serius dan dibuat betul-betul. Kena ada satu bentuk penegasan daripada pihak kementerian dan agensi penguatkuasaan.
“Kalau negara mahu terus dihormati, kerajaan perlu bertegas dalam perkara ini supaya yang orang bukan Islam akan hormat kepada kita apabila berada di negara ini," katanya kepada Majoriti.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu pertukaran nama arak jenama Timah selepas wakil syarikat berkenaan bersetuju berbuat demikian dalam pertemuan mereka dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna baru-baru ini.
Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan pada Khamis berkata, syarikat berkenaan memohon tempoh selama satu minggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarah mengenai penukaran nama dan imej pada label produk berkenaan.
Sementara itu, dalam nada kecewa, Nadzim berkata, dari sudut pandang yang lebih luas, kerajaan perlu lebih peka dan responsif dalam isu-isu sedemikian demi menjaga sensitiviti umat Islam.
"Mungkin ada beberapa lagi jenama-jenama produk haram menggunakan nama bercirikan kemelayuan di pasaran, yang kita terlepas pandang, jadi kena sensitif.
"Kalau bukan nama produk pun, ada lagi banyak benda lain yang kerajaan perlu peka contohnya amalan riba dan sebagainya. Ini pun umat Islam janganlah tutup sebelah mata," katanya.
Kontroversi arak berjenama Timah tercetus sejak minggu lalu selepas pemilihan nama itu hebat diperdebatkan di media cetak dan elektronik, malah ia turut menjadi topik hangat dibahaskan di Dewan Rakyat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram