Tujuh kali perubahan sketsa politik peringkat negeri, BERSIH 2.0 gesa undang-undang anti lompat parti


  • Politik
  • Rabu, 27 Okt 2021

FANN berkata, perlu ada undi tidak percaya kepada Ketua Menteri, melainkan beliau dapat membuktikan bahawa beliau mendapat sokongan majoriti. — The Star

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menggesa pelaksanaan undang-undang anti lompat parti dan akauntabiliti politik bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Pengerusinya, Thomas Fann berkata, perkara itu penting bagi memutuskan sama ada individu yang terlibat perlu disingkirkan atau dikekalkan.

Tambahan pula katanya, ini adalah kali ketujuh berlaku pertukaran kerajaan di peringkat negeri sejak tahun lepas.

"Perlu ada undi percaya pengesahan untuk Ketua Menteri selepas pelantikannya dalam DUN (Dewan Undangan Negeri), yang mengesahkan beliau mendapat sokongan majoriti dewan.

"Sepatutnya ada undi tidak percaya kepada Ketua Menteri, melainkan beliau dapat membuktikan bahawa beliau mendapat sokongan majoriti.

"Ia hanya memerlukan sekumpulan kecil wakil rakyat untuk mewakili parti mereka bagi menerajui Melaka. Pada masa sama, hanya empat Adun (Ahli Dewan Undangan Rakyat) diperlukan untuk menjatuhkan kerajaan.

"Hanya disebabkan parti pemerintah kehilangan majoriti, itu tidak bermakna blok pembangkang mendapat lebih sokongan," katanya.

Fann berkata, peruntukan sama rata dana pembangunan kawasan perlu diberikan kepada semua Adun, tidak kira sama ada mereka dari parti pemerintah atau pembangkang.

"Selain itu, katanya, agenda eksekutif persidangan DUN hendaklah dibuat atas rundingan kerajaan semasa dan pembangkang.

"Ia tidak sepatutnya hanya diputuskan oleh Speaker dan Ketua Menteri sahaja," katanya.

Jelasnya, pelantikan ahli jawatankuasa di negeri ini perlu mencerminkan kekuatan atau bilangan wakil rakyat daripada setiap parti.

Hari penamaan calon bagi PRN Melaka diputuskan pada 8 November, diikuti tempoh berkempen selama 12 hari dan hari mengundi ditetapkan pada 20 November.

Pada 24 Oktober lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PRN Melaka, Bersih 2.0, Thomas Fann