Dewan Negara lulus penubuhan tiga jawatankuasa khas


  • Primer
  • Isnin, 25 Okt 2021

LANGKAH berkenaan merupakan transformasi kepada Parlimen khususnya Dewan Negara. — Agensi

DEWAN Negara meluluskan usul penubuhan tiga Jawatankuasa Pilihan Khas dalam usaha mentransformasikan Parlimen khususnya Dewan Negara pada Isnin.

Tiga Jawatankuasa Pilihan Khas itu ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat; Jawatankuasa Pilihan Khas Sosiobudaya, Komunikasi dan Pendidikan serta Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus Integriti dan Antirasuah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika membentangkan usul itu berkata, terma rujukan bagi jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas berkenaan hendaklah mengandungi tujuan penubuhan, keanggotaan melibatkan lima ahli termasuk pengerusi dan tempoh kuatkuasa jawatankuasa selama dua tahun atau dua penggal daripada tarikh penubuhannya.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada Dewan Negara di bawah kepimpinan Tan Sri Dr Rais Yatim selaku Yang Dipertua Dewan Negara kerana mengambil langkah proaktif dalam mentransformasikan Parlimen khususnya bagi Dewan Negara ini melalui penubuhan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Dewan Negara.

"Justeru, pihak kerajaan menyokong penuh langkah ini melalui usul yang dikemukakan sebagaimana dilaporkan dalam Penyata Jawatankuasa Dewan Majlis Mesyuarat Dewan Negara yang dibentangkan di atas meja mesyuarat dewan ini sebagai kertas DN 1 Tahun 2021, ini adalah susulan kepada dua siri mesyuarat jawatankuasa dewan diadakan pada 23 Julai 2021 dan 30 September 2021," ujarnya.

Tambah Mas Ermieyati, Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas terbabit berkuasa memanggil orang hadir di hadapannya untuk mengambil keterangan, fikiran dan pandangan tentang perkara berkaitan dengan bidang tugas yang dinyatakan dalam terma rujukan jawatankuasa berkenaan serta tertakluk kepada peruntukan dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

"Laporan atau penyata yang dikeluarkan hasil siasatan oleh sesuatu Jawatankuasa Pilihan Khas hendaklah dibentangkan di dalam dewan. Penyata ini dibentangkan, boleh dicadang untuk dibahas, diterima dan dipersetujui Dewan Negara oleh Majlis melalui usul di bawah Peraturan Mesyuarat 78(5) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara," katanya.

Usul tersebut kemudian diterima dan dipersetujukan tanpa bahas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram