MACSA kesal Suhakam promosi 'gender ketiga'


  • Massa
  • Khamis, 21 Okt 2021

KERATAN laporan SUHAKAM yang dilihat 'memperjuangkan gender ketiga'. — Agensi

GABUNGAN Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) merasa kesal dengan tindakan SUHAKAM yang dilihat terburu-buru dalam mempromosikan pengiktirafan 'gender ketiga'.

Menurut Presiden Bersama MACSA, Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, SUHAKAM menerusi Laporan Separuh Penggal bagi Proses Semakan Berkala Sejagat ke-3 dilihat menggunakan terma 'non-binari' (seseorang yang mengaku tidak memiliki jantina) bersama-sama identiti gender serta orientasi seks lain (LGBTQ) dalam laporan berkenaan.

"Pada Jun lalu, SUHAKAM secara terbuka menawarkan geran penyelidikan bertajuk 'Kebolehlaksanaan Pengiktirafan Gender Ketiga dari sudut undang-undang di Malaysia'. Daripada tajuk kajian berkenaan, jelas menunjukkan bahawa mereka bertujuan untuk meneroka undang-undang agar yang sama dipinda bagi memperkenalkan 'gender ketiga' masuk ke dalam sistem perundangan.

"Dalam terma rujukan kajian, SUHAKAM menyatakan bahawa tanpa mengira dapatan kajian, para penyelidik harus menyokong objektif yang telah ditentukan seperti digariskan oleh SUHAKAM, iaitu 'untuk mengasaskan pembaharuan undang-undang yang komprehensif dalam mengadakan garis panduan pengiktirafan bagi transgender di Malaysia'.

"Penyelidikan dengan kesimpulan yang ditentukan sebelum kajian bermula bukanlah penyelidikan. Itu adalah propaganda. Ia merupakan satu usaha memaksakan nilai asing yang tidak dapat diterima oleh masyarakat," kata Rafidah Hanim dalam satu kenyataan dikeluarkan menerusi Facebook pada Khamis.

Proses Semakan Berkala Sejagat atau Universal Periodic Review (UPR) adalah proses yang berlangsung setiap lima tahun sekali bagi menilai tahap pengamalan hak asasi anggota Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selaras keputusan Perhimpunan Agung PBB pada 2006.

Institusi hak asasi manusia kebangsaan seperti SUHAKAM dikehendaki menghantar laporan ke Majlis Hak Asasi PBB bagi tujuan dipertimbangkan semasa proses tersebut berjalan.

Laporan Separuh Penggal akan dihantar terlebih dahulu sementara laporan penuh UPR Ke-4 yang dijangka berlangsung pada 2024, akan dihantar sekitar Jun 2023.

Tambah beliau, meskipun cadangan kajian itu dikritik dan menerima bantahan daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), namun SUHAKAM masih terus mempromosikan agenda tidak bermoral berkenaan selepas usul kajiannya mendapat 'pujian' daripada pertubuhan Human Right Watch (HRW).

"SUHAKAM memperlihatkan sikap tidak bebas mereka yang tunduk kepada tekanan pihak luar. Ini menimbulkan persoalan, kepada siapakah SUHAKAM dipertanggungjawabkan? Kepada pembayar cukai dan rakyat negara ini? Atau ada elemen gelap yang menyusup badan kerajaan yang diamanahkan untuk melaksanakan tugas mereka atas perkara yang lebih relevan bagi rakyat negara ini?

"MACSA menekankan hakikat bahawa banyak undang-undang di Malaysia hanya memperuntukkan pemakaian terma jantina lelaki dan wanita, walaupun ada percubaan untuk menggantikannya dengan kata gender bagi memungkinkan pengiktirafan 'gender ketiga'.

"Impak pengiktirafan gender ketiga ini tidak hanya akan mempengaruhi kesihatan seseorang (kerana melibatkan biologi) tetapi juga mengganggu hak dari segi undang-undang," jelasnya.

Ujar Rafidah Hanim, pihaknya kesal SUHAKAM gagal gagal memastikan setiap nilai yang bertentangan dengan agama Persekutuan dan budaya Malaysia tidak dimasukkan ke dalam laporannya.

"Mereka lebih memilih untuk tunduk kepada ideologi yang diimport dari Barat, berbanding mendengarkan suara rakyat Malaysia berbilang agama yang berpegang kepada teras agama maasing-masing," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram