KKM belanja lebih RM8 juta uruskan mayat Covid-19


  • Primer
  • Khamis, 21 Okt 2021

AARON turut memberitahu, KKM telah membelanjakan sejumlah RM916 juta bagi bayaran elaun khas kepada petugas KKM. — The Star

SEBANYAK RM8.128 juta dibelanjakan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk perolehan peralatan perubatan khususnya bagi pengurusan mayat berkaitan Covid-19, kata Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang.

Menurut beliau, perbelanjaan itu digunakan di Jabatan Forensik hospital KKM di seluruh negara dari tahun 2020 hingga 10 September lalu.

"Daripada jumlah tersebut, RM6.5 juta dibelanjakan bagi urusan penyimpanan mayat di hospital yang meninggal dunia akibat Covid-19.

"Pada tahun 2020 kita belanjakan lebih kurang RM898,000 dan tahun ini RM7.2 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Juhanis Abd Aziz dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara Kuala Lumpur pada Khamis.

Juhanis mengajukan soalan mengenai jumlah elaun khas untuk petugas kesihatan yang telah dibelanjakan serta jumlah peruntukan dibelanjakan bagi urusan penyimpanan mayat di hospital yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Terdahulu, Aaron berkata, kadar pemberian elaun khas Covid-19 kepada petugas barisan hadapan antaranya bagi doktor dan anggota kesihatan daripada pelbagai kategori yang terlibat dalam pengurusan menangani wabak Covid-19 telah pun dinaikkan daripada RM400 kepada RM600 sebulan.

Kata beliau, secara keseluruhan hingga 30 September 2021, Kementerian Kesihatan telah membelanjakan sejumlah RM916 juta bagi bayaran elaun khas kepada petugas KKM yang melibatkan kira-kira 1.7 juta tuntutan.

"Pemberian elaun khas ini juga diberi kepada petugas penjawat awam yang terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Kadarnya juga dinaikkan kepada RM600 sebulan," ujarnya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram