GOLONGAN usahawan dan peniaga yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 akan berhadapan kesukaran menjalankan aktiviti perniagaan mereka.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, ini berikutan status vaksinasi merupakan satu daripada kriteria penting untuk membolehkan individu untuk pergi ke mana-mana tempat.
"Bila tidak lengkap dos vaksin ini, individu yang tidak dapat masuk ke mana-mana tempat ini akan mengganggu aktiviti ekonomi mereka," katanya kepada media selepas melawat proses vaksinasi untuk remaja di pusat pemberian vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Selangor pada Selasa.
Namun, setakat ini, pihaknya tidak mewajibkan golongan usahawan di bawah kementerian itu untuk mengambil vaksin.
"Saya akan bincang (mengenai mewajibkan vaksinasi) namun setakat ini kita tidak mengenakan syarat tetapi kita akan lihat nanti betapa seriusnya perkara ini," katanya. — Bernama