Paip pecah, bekalan air pulih sepenuhnya 10 pagi esok


  • Primer
  • Selasa, 19 Okt 2021

BEKALAN air mula disalurkan pada 2.30 petang secara berperingkat ke 145 kawasan di wilayah Sepang dan 11 kawasan di Kuala Langat. — Bernama

KERJA-KERJA kecemasan membaiki paip pecah berhampiran Simpang 3 LBJ, Jalan B48, Kampung Chinchang, Salak Tinggi, Sepang, telah siap dilaksanakan jam 2 petang pada Selasa.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri dalam satu kenyataan berkata, bekalan air mula disalurkan pada 2.30 petang secara berperingkat ke 145 kawasan di wilayah Sepang dan 11 kawasan di Kuala Langat.

"Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 10 pagi, 20 Oktober 2021,” katanya.

Jelasnya, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Tambah Elina, pihaknya menyediakan bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki ke kawasan yang terjejas, dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Elina berpesan kepada pengguna supaya mematuhi penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki berkenaan.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai insiden tersebut, katanya, orang ramai boleh merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300, selain Pusat Bantuan di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. — Majoriti