'Dekati golongan antivaksin, bukan ugut mereka'


  • Primer
  • Ahad, 17 Okt 2021

KERAJAAN sepatutnya memberi penerangan serta jawapan berdasarkan dapatan kajian saintifik yang lebih berkualiti untuk mematahkan hujah kumpulan antivaksin, kata Anwar. — LOW LAY PHON/The Star
KERAJAAN dinasihatkan supaya tidak menggunakan ugutan dan hukuman terhadap golongan antivaksin dan berusaha untuk mendekati mereka bagi menerangkan tentang fakta vaksin.

Sambil menyifatkan tindakan berkenaan sebagai satu cara yang sombong, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sepatutnya memberi penerangan serta jawapan berdasarkan dapatan kajian saintifik yang lebih berkualiti untuk mematahkan hujah kumpulan terbabit.

"Saya tidak sokong golongan antivaksin ini tapi adakalanya hujah mereka agak kuat, jadi kita perlu balas mereka dengan hujah yang lebih kukuh.

"Jika mereka kemukakan hujah menggunakan kertas kajian saintifik, kita perlu utarakan kajian yang lebih berkredibiliti dan kuat untuk patahkan hujah kumpulan itu.

"Saya tidak setuju kita guna cara ugutan," katanya ketika sidang media setelah Majlis Perasmian Wisma SP Care dan Majlis Penghargaan Barisan Hadapan SP Care di Wisma SP Care, Serendah, Rawang, Selangor pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menegaskan kerajaan akan 'menyusahkan' kehidupan golongan antivaksin jika terus enggan divaksin tanpa sebab yang dibenarkan.

Katanya, golongan tersebut kemungkinan terpaksa berdepan kehidupan yang sukar kerana tidak akan dibenarkan menikmati kemudahan kelonggaran seperti individu lengkap vaksinasi secara berterusan.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan sepatutnya menyelesaikan pemberian dos vaksin kepada individu yang ingin menerimanya dan memberi fokus kepada baki selebihnya kepada golongan yang ingin mengambil dos berkenaan. — Sinar Harian