PEMBUKAAN penjualan kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) di pasaraya dan rangkaian kedai terpilih dijangka dapat dilaksanakan bulan ini.
Ketika ini, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang di peringkat akhir perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membolehkan lebih banyak premis menjual kit ujian pantas antigen Covid-19.
“Mengambil kira semangat Keluarga Malaysia dan kepentingan kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) kepada masyarakat, perluasan penjualan kit ujian pantas antigen Covid-19 di pasaraya dan rangkaian kedai terpilih buat permulaan ini.
“Dijangka akan membolehkan orang ramai boleh mendapatkan RTK dengan lebih mudah. Dalam masa yang sama, KPDNHEP amat menggalakkan peniaga menawarkan harga yang lebih rendah dan munasabah tanpa kerajaan menentukan paras harga yang baharu,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dengan langkah yang sedang diusahakan sekarang, KPDNHEP percaya dapat dapat dijual pada kadar yang lebih rendah.
“KPDNHEP mengambil maklum bahawa terdapat lebih kurang sembilan juta kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) berada dalam pasaran.
“Pihak industri yang terbabit dalam membawa masuk dan mengeluarkan kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) sudah memberikan maklumbalas positif supaya kit ujian pantas antigen covid-19 dapat dijual pada harga lebih rendah daripada harga runcit maksimum ketika ini.
“KPDNHEP yakin dengan usaha yang digembleng bersama antara pengeluar dan pengimport, pihak pasaraya dan chain store dapat membantu menstabilkan harga dalam usaha untuk keluar daripada pandemik ini,” katanya. — Majoriti