Status penjawat awam enggan divaksin antara kupasan Dewan Rakyat


  • Primer
  • Selasa, 12 Okt 2021

ISU AUKUS juga antara bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa. — Bernama

SIDANG Dewan Rakyat pada Selasa dijadual bakal membahas dan meluluskan ketetapan menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk mengungkaikan Ordinan-ordinan Darurat.

Perkara itu akan dicadangkan Perdana Menteri dan antara ordinan terbabit adalah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021.

Pada sesi sama, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Pejuang-Sri Gading) akan meminta Perdana Menteri menyatakan mengenai status dan hak jika penjawat awam tidak mahu mengambil vaksin dan adakah kerajaan akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap penjawat awam tersebut.

Cha Kee Chin (DAP-Rasah) pula akan meminta Perdana Menteri menyatakan apakah terdapat cadangan daripada kerajaan untuk menambahkan kawasan pilihan raya atau persempadanan semula, selepas pertambahan pemilih yang banyak pada suku ke-3 tahun 2021.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan diminta oleh Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) untuk menyatakan sektor industri yang paling terjejas sejak negara dilanda wabak Covid-19 dan tahap kesediaan Kerajaan membuka kembali sektor ekonomi sepenuhnya.

Sesi soal jawab lisan Waktu Pertanyaan Menteri oleh Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) kepada Menteri Kanan Pertahanan pula akan membangkitkan isu pakatan keselamatan tiga negara yang telah diwujudkan antara Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia (AUKUS).

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 berakhir Selasa setelah 17 hari bersidang. — Majoriti