Peguam Negara kesan kesalahan lain kes hilang AS$6.94 juta


Siasatan AGC terhadap kes kehilangan wang AS$6.94 juta daripada pihak SPRM mendapati, ada kesalahan lain yang memerlukan siasatan lanjut.

BERDASARKAN kertas siasatan yang diterima pada 28 September lepas daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara mendapati wujud kesalahan-kesalahan lain yang memerlukan siasatan lanjut oleh agensi penguatkuasaan yang berkaitan dalam kes kehilangan wang AS$6.94 juta (RM28.9 juta).

AGC dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa pihaknya telah mengkaji dan meneliti kertas siasatan berkaitan kes berkenaan.

“Kertas siasatan telah dikembalikan untuk tindakan lanjut," menurut kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan bahagian pendakwaan AGC akan mengkaji dengan teliti dan menyeluruh kertas siasatan yang diterima pada 28 September daripada SPRM itu sebelum membuat keputusan sama ada membuat pertuduhan atau mengeluarkan arahan siasatan lanjut.

Pada 23 September lepas, media tempatan melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil tiga pegawai kanan SPRM yang sebelum ini direman selama enam hari oleh SPRM, dan pemilik wang berkenaan yakni bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangan wang berkenaan. — Majoriti

AGC, siasat, SPRM