Kempen Mel Rakyat tepati konsep Keluarga Malaysia


  • Primer
  • Sabtu, 09 Okt 2021

ANNUAR berkata, kempen Mel Rakyat juga mengeratkan hubungan silaturahim dalam masyarakat terutama semasa negara dilanda pandemik. —The Star

TAN Sri Annuar Musa berkata, kempen Mel Rakyat dilancarkan Pos Malaysia sempena Hari Pos Sedunia pada tahun ini bertepatan dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, kempen ini membolehkan orang ramai berhubung antara satu sama lain dengan percuma menerusi kiriman surat, seterusnya mengeratkan hubungan silaturahim dalam masyarakat terutama semasa negara dilanda pandemik.

“Semasa pandemik, ramai yang sudah lama tidak bersua. Usaha ini amat bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Ini membawa falsafah kebersamaan atau togetherness dan hidup di sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan merdeka seperti Malaysia,” katanya pada program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan RTM sempena Hari Pos Sedunia 2021 pada Sabtu.

Kempen Mel Rakyat yang bermula pada 4 Oktober sehingga 31 Oktober ini bertemakan 'Meraikan Legasi, Menghubungkan Masa Depan'.

Menekankan kepentingan warga Pos Malaysia terutama bagi kesinambungan dan pembangunan ekonomi serta sosial, Annuar turut menzahirkan penghargaan kepada Pos Malaysia sebagai perkhidmatan pos tertua negara yang berusia mencecah lebih 200 tahun perkhidmatan.

Beliau berkata, sambutan Hari Pos Sedunia pada tahun ini bertemakan ‘Innovate to Recover’ juga melambangkan usaha dan kepentingan perkhidmatan pos di seluruh dunia dalam memastikan kelangsungan ekonomi global.

Hari Pos Sedunia, yang disambut pada 9 Oktober setiap tahun menandakan ulang tahun penubuhan Kesatuan Pos Sedunia pada 1874.— Bernama

Mel Rakyat, Pos Malaysia, Annuar Musa