Vaksin: 'Tidak mahu projek hangat-hangat tahi ayam'


  • Massa
  • Khamis, 30 Sep 2021

PELAJAR sekolah menunggu giliran untuk mendaftar dalam aplikasi MySejahtera selepas menerima suntikan vaksin di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Berangan, Marang, Terengganu pada Selasa. — Bernama

LANGKAH kerajaan menggubal Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara bagi menjadikan Malaysia sebagai antara negara pengeluar vaksin di dunia perlu, perlu dilakukan dengan komitmen yang tinggi agar perancangan tersebut tidak gagal separuh jalan.

Menurut pensyarah kanan di Kluster Kesihatan Persekitaran, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Nurul Yuziana Mohd Yusof, inisiatif tersebut bagaimanapun wajar dipuji dan disokong.

"Kita tidak mahu projek 'hangat-hangat tahi ayam' yang kemudian berhenti sekerat jalan dan gagal tanpa justifikasi yang jelas seperti projek-projek kerajaan sebelum ini.

"Dua projek sebelum ini, iaitu Projek BioValley dan Nine Bio Sdn Bhd, tiada usaha diambil pihak berwajib bagi mengenal pasti punca kegagalan projek berkenaan.

"Projek BioValley dan Nine Bio Sdn Bhd yang dibangunkan kerajaan sebelum ini adalah untuk pembangunan vaksin halal di Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia juga harus bijak mengambil langkah realistik bagi menjayakan pelan tersebut agar selari dengan kemampuan serta keupayaan sebenar bidang bioperubatan dan bioteknologi negara.

Jelas Nurul Yuziana, adalah penting untuk mengenal pasti secara teliti keperluan sedia ada dan keperluan yang perlu diadakan bagi memastikan proses pembangunan vaksin negara berterusan dan tidak hanya bersifat ‘one-off’.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara faktor yang perlu diberi penekanan dalam pembangunan vaksin ialah penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang lebih spesifik terhadap vaksin.

Ini penting bagi memastikan kelangsungan pembangunan vaksin di peringkat pembuatan berskala besar, terutama dengan kerjasama institusi penyelidikan, kumpulan pakar perubatan dan industri farmaseutikal negara, bagi mempercepat serta memantapkan lagi proses ujian klinikal terhadap vaksin berkenaan.

"Pihak industri pembuatan juga harus dilibatkan selain negara juga perlu mengimport khidmat kepakaran teknikal daripada pihak industri vaksin sedia ada yang telah kukuh untuk memberi latihan kepada tenaga pakar tempatan,’’ ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, tenaga pakar tempatan daripada pelbagai lapangan termasuk industri bioteknologi, bioteknologi dengan pengurusan, kejuruteraan, fizik dan kimia, perlu menjalani latihan spesifik bagi memastikan kelangsungan pelan pembangunan vaksin negara tersebut.

Pada Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, mengumumkan kerajaan sedang memuktamadkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara bagi memastikan Malaysia mampu menghasilkan vaksin sendiri.

Ismail Sabri berkata, pelan itu bagi membolehkan negara bersedia menghadapi sebarang pandemik pada masa akan datang. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram