'Port' penagih dadah di Klang dirobohkan


  • 112
  • Khamis, 30 Sep 2021

MPK menjalankan kerja-kerja merobohkan struktur binaan haram di sekitar Klang sepanjang September. — Agensi

SEBUAH rumah yang dijadikan 'port' penagih dadah dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) Selangor dalam satu operasi penguatkuasaan pada Rabu.

Selain rumah tersebut, beberapa struktur binaan haram turut dirobohkan.

"Struktur berkenaan dipercayai digunakan sebagai 'port' penagih dadah dan aduan awam mendapati terdapat aktiviti penjualan serta pengumpulan barang lusuh dan terpakai di situ.

"Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang mengeluarkan notis atas kesalahan mengikut Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara kerana menceroboh tanah kerajaan.

"Tindakan pemotongan bekalan elektrik dan air juga diambil serta-merta kerana melakukan penyambungan secara haram," ujar Yang Dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, beberapa siri penguatkuasaan dijalankan sepanjang September dengan kerjasama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PTD Klang.

"MPK melakukan beberapa tindakan penguatkuasaan terhadap struktur tanpa izin membabitkan beberapa lokasi, antaranya di Jalan Sultan Mohamed 1, Bandar Sultan Suleiman.

"Tindakan penguatkuasaan dilakukan ke atas dua struktur gerai yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 46(1)(a)(b) Akta Jalan Parit dan Bangunan iaitu membuat binaan kekal di atas rizab jalan," jelas beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram