
BEBERAPA isyarat bahawa pasaran minyak mentah berada dalam keadaan sempit disebabkan permintaan tenaga global, menyebabkan harga minyak meningkat pada permulaan dagangan minggu ini.
West Texas Intermediate (WTI) melepasi AS$75 (RM313) setong selepas meningkat lima minggu berturut-turut, manakala Brent mencecah paras tertinggi sejak Oktober 2018.
Inventori semakin berkurangan, dengan simpanan Amerika Syarikat (AS) hampir ke paras terendah tiga tahun.
Pada masa sama, rali dalam gas asli dijangka memacu permintaan bagi minyak kerana pengguna beralih bahan api.
Harga minyak melonjak lebih 80 peratus sejak setahun lalu apabila permintaan seluruh dunia pulih daripada gangguan dicetuskan oleh pandemik.
Dari segi bekalan, Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan pakatannya termasuk Russia (OPEC+) mula melonggarkan sekatan output namun secara perlahan, menyebabkan pasaran menjadi sempit.
Ditambah pula, cuaca buruk di AS melumpuhkan pengeluaran tempatan.
"Minyak mentah terus disokong oleh kebimbangan terhadap pasaran tenaga yang sempit," kata ketua strategi komoditi ING Groep NV, Warren Patterson.
"Permintaan dilihat lebih kukuh daripada jangkaan dalam masa terdekat."
Mengenai ambang suku keempat dan menjelang musim sejuk hemisfera utara, beberapa pemerhati pasaran menjangkakan kenaikan selanjutnya harga minyak.
Goldman Sachs Group Inc berkata, defisit pasaran adalah lebih besar daripada jangkaan dan ia menaikkan unjuran akhir tahun Brent sebanyak AS$10 (RM41.80) kepada AS$90 (RM376) setong.
Citigroup Inc berkata, ia kekal 'amat yakin' dengan harga minyak mentah dan gas, menurut tinjauan komoditinya.
OPEC+ dijadual bermesyuarat pada 4 Oktober ini untuk menyemak polisi output selepas mengekalkan penambahan bekalan 400,00 tong sehari sejak beberapa bulan kebelakangan ini. —Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram