Polis siasat sindiket kutipan derma palsu


  • 112
  • Ahad, 26 Sep 2021

SEBANYAK lima laporan diterima pihak polis berkaitan sindiket penipuan kutipan derma itu. — Agensi

POLIS membuka kertas siasatan membabitkan sindiket penipuan kutipan derma yang menyamar sebagai pelindung haiwan menerusi Facebook.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, beberapa laporan polis diterima membabitkan penipuan kes kutipan sumbangan dan derma tersebut.

"Laporan pertama diterima pada Rabu melibatkan seorang mangsa yang kerugian hampir RM15,000 selepas melakukan pembayaran ke dalam dua akaun bank berbeza.

"Susulan kejadian, satu laporan lagi diterima melibatkan satu artikel di Facebook berhubung satu pihak yang menyamar sebagai organisasi yang terlibat dalam memelihara, memberi pertolongan dan perlindungan kepada haiwan selain mendapatkan sumbangan derma," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Tambah Mohamad Fakhrudin, kertas siasatan sudah dibuka berkaitan laporan polis yang diterima pihaknya.

"Setakat ini sebanyak lima laporan polis diterima berhubung penipuan kutipan derma ini. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Menurutnya, orang ramai diminta agar tidak mudah terperdaya dengan sebarang kenyataan kutipan derma di media sosial.

"Semak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima sebagai pencegahan awal mengelakkan menjadi mangsa penipuan aktiviti ini," kata beliau lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram