Op Patuh beri tumpuan pada Gelembung Pelancongan Langkawi


  • Primer
  • Sabtu, 25 Sep 2021

HAMZAH meminta Kementerian Kesihatan untuk menyalurkan maklumat berhubung pelanggaran perintah HSO secara serta merta. — The Star

PELAKSANAAN Operasi Patuh (Op Patuh) akan diteruskan dengan memberi tumpuan tumpuan khusus terhadap pelaksanaan Gelembung Pelancongan Pulau Langkawi, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin

Menuut beliau tindakan itu dilakukan sebelum Op Patuh diperluas ke destinasi-destinasi pelancongan lain.

"Perkara ini dilakukan untuk memastikan kejayaan pelaksanaan projek rintis itu dan memberi impak positif kepada sektor pelancongan negara.

“Sejak Op Patuh dilancarkan pada Jun lepas, lebih 1 juta pemeriksaan dijalankan di seluruh negara antaranya terhadap 178,266 kilang; 79,974 tapak pembinaan; 1.5 juta premis perniagaan; dan 24,967 asrama penginapan," katanya.

Tambahnya lagi, daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,410 kompaun dikeluarkan dan 4,440 premis diarah tutup,

Beliau berkata demikian pada sidang media khas berkaitan penguatkuasaan dan pematuhan prosedur operasi standard di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, pada Jumaat.

Jelas beliau lagi, mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan (JKPS) prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 memutuskan, untuk meneruskan tindakan penguatkuasaan pematuhan SOP secara bersepadu melalui Op Patuh.

"Ia bertujuan untuk memastikan tiada pihak mengambil mudah mengenai pematuhan SOP ketika negara beralih ke fasa endemik.

"JKPS juga memandang serius laporan analisis mobiliti aplikasi MySejahtera yang mendedahkan sebanyak 523 ‘check-in’ dikenal pasti dalam kalangan kes positif Covid-19, yang diberikan perintah ‘Home Surveilance Order’ (HSO)," ujarnya.

Hurainya lagi, menurut data yang diperolehi, sebanyak 18 peratus kes itu dikesan di pasar raya.

"JKPS telah meminta pihak Kementerian Kesihatan untuk menyalurkan maklumat berhubung pelanggaran perintah HSO secara serta merta.

"Maklumat boleh disalurkan kepada pihak polis bagi tujuan penguatkuasaan di lapangan,” Jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram