LARANGAN terhadap golongan ‘mukhannath’ atau transgender daripada memasuki masjid di Wilayah Persekutuan kini sedang dipertimbangkan kerajaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, tindakan pihak berkuasa agama di Perlis yang mengenakan larangan adalah wajar bagi menjaga kesucian masjid dan menghindari kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
"Saya bercakap dalam konteks Wilayah Persekutuan kerana itu dalam bidang kuasa kita. Negeri-negeri lain terpulang kepada pihak berkuasa agama masing-masing.
“Soal kita hendak galakkan negeri-negeri ikut apa yang dilakukan di Perlis, kita kena tengok kepada keseriusan kes yang berlaku.
"Bagi saya apa yang dilakukan oleh Perlis itu adalah satu tindakan yang boleh dicontohi kerana kalau golongan ini masuk ke dalam masjid sebagai lelaki, kadang-kadang mereka pakai tudung jadi itu sangat tidak sesuai.
“Kalau orang lelaki masuk ke sebelah Muslimat, jadi itu sudah mengganggu privasi kumpulan wanita. Tetapi kalau mereka hadir (ke masjid) untuk bertaubat itu tidak apalah,” katanya.
Ahmad Marzuk berkata, bagaimanapun setakat ini pihaknya belum menerima maklumat atau laporan berkaitan ‘pencerobohan’ golongan transgender di masjid dan pihaknya percaya tindakan larangan dilakukan di Perlis itu adalah sebagai satu langkah pencegahan.
Baru-baru ini, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam kenyataan di Laman Web Rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis menyatakan golongan ‘mukhannath’ atau lebih dikenali dengan panggilan ‘mak nyah’ atau transgender diharamkan memasuki masjid dalam keadaan kecelaruan jantina kerana boleh mengganggu suasana ibadah di masjid.
Mohd Asri berkata, berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-53/2021 pada 23 dan 24 Jun lepas, golongan ini sengaja menyerupai jantina berbeza dan termasuk dalam golongan fasik. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram