Judi: Datuk Ken, isteri mengaku tidak bersalah


DATUK Ken dan isteri mengakui tidak bersalah atas empat pertuduhan dan mohon perbicaraan semula.

AHLI perniagaan, Liow Lian Keong, 40, dan isterinya, Chen Lye Kuen, 41, mengakui tidak bersalah atas empat tuduhan menjadikan rumah mereka di Rawang sebagai tempat perjudian.

Lian Keong dan Lye Kuen yang didakwa di Mahkamah Majistret Selayang memohon dibicarakan sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, Lian Keong atau lebih dikenali sebagai Datuk Ken berdepan tiga tuduhan menggunakan kediaman miliknya di Bandar Country Homes, Rawang, sebagai rumah perjudian terbuka pada jam antara 5.15 hingga 6.15 petang, 6 Julai lalu.

Manakala Lye Kuen didakwa menjadikan kediaman miliknya di Bandar Country Homes, Rawang sebagai rumah judi terbuka pada jam 5.30 petang, tarikh yang sama.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum hingga tiga tahun, denda maksimum hingga RM50,000 serta boleh dikenakan denda dengan jumlah sama bagi setiap mesin judi dirampas.

Pendakwaan dilaukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhammad Nor Izzat Nordin, Thomas Chin S W dan Matthews.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan Lian Keong dan Lye Kuen diikat jamin RM7,000 bagi setiap pertuduhan.

Sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 20 Disember ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, polis menahan 12 lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 17 hingga 40 tahun yang dikesan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian sejak setahun lalu. — Berita Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

datuk ken, judi, mahkamah