HAD statutori hutang Kerajaan Persekutuan akan dinaikkan kepada 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 60 peratus sebelum ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, selain langkah berkenaan, kerajaan juga bakal meningkatkan had siling Kumpulan Wang Covid-19 daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion.
"Peruntukan tersebut akan digunakan bagi membantu rakyat serta perniagaan apabila ekonomi dibuka semula kerana seperti kita sedia maklum, banyak peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Mikro, terutamanya dalam sektor runcit dan pelancongan banyak terjejas," ujarnya ketika ditemubual dalam program Optik@Selamat Pagi Malaysia di saluran RTM pada Ahad.
Tambah Tengku Zafrul, kerajaan turut sedang memberi tumpuan kepada pembukaan ekonomi terutamanya untuk tahun hadapan dengan jangkaan seluruh sektor bakal dibuka sepenuhnya menjelang akhir 2021 mengikut norma baharu.
Beliau yang juga Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjelaskan PPN merupakan pelan yang dinamik dan kerajaan membuat keputusan yang akan dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik berdasarkan data semasa terkini.
"Kita akan menggunakan laporan terbaharu yang bukan sahaja di negara ini tetapi di peringkat antarabangsa untuk kita membuat keputusan.
"Jadi apa yang kita dapat lihat, sebagai contoh, dos penggalak, kita akan membuat dos penggalak dalam masa terdekat. Perkara ini pun sudah diumumkan oleh Kementerian Kesihatan," katanya. — Berita Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram