ISU keselamatan makanan dan sektor pertanian akan menjadi antara fokus utama Belanjawan 2022 sejajar dengan rancangan pemulihan serta pertumbuhan sosioekonomi kerajaan dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
Ujar Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, sektor-sektor berkenaan akan meletakkan asas dalam mengurangkan kebergantungan negara pada makanan import untuk jangka masa panjang.
"Keselamatan makanan adalah salah satu elemen yang selalu ditekankan oleh kerjaan dalam pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan 2021.
"Saya percaya bahawa dengan kerjasama yang utuh antara kerajaan negeri dan Persekutuan, kita dapat mewujudkan projek pertanian berskala besar yang memberikan impak tinggi terhadap ekonomi," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pembiakan ikan air tawar di Bukit Batu, Kulai, Johor pada Sabtu.
Tambah Tengku Zafrul, sebanyak RM3.15 bilion disalurkan kepada sektor pertanian melalui pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan 2021.
"Daripada jumlah berkenaan, RM1.75 bilion diberikan kepada petani, penternak dan nelayan," jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Zafrul turut memaklumkan Kementerian Kewangan bekerjasama dengan kementerian lain untuk mencari solusi berhubung kenaikan kos makanan ayam, termasuklah memberikan subsidi kepada penternak ayam.
Beliau berkata, kerajaan menyedari kenaikan harga ayam dan akan mencari jalan untuk menstabilkan harganya.
"Sebarang keputusan perlu diteliti dari segi kesan terhadap penternak dan industri yang terlibat serta paling penting, kesannya kepada pengguna," ujarnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram