SISTEM e-lelong yang dilancarkan secara dalam talian pada awal Januari tahun lepas perlu ditambah baik bagi mewujudkan situasi menang-menang antara pelelong tradisi dengan pihak mahkamah dan juga pihak defendan (pemilik hartanah).
Perkara itu dibangkitkan oleh Persatuan Pelelong Pulau Pinang yang mengemukakan memorandum kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bagi menuntut beberapa perkara berhubung isu kehilangan pendapatan akibat daripada pelaksanaan sistem e-lelong.
Pengerusi persatuan itu, Muzakir Mansor berkata tindakan untuk mengemukakan memorandum itu dibuat berikutan 2,300 orang pelelong tradisi daripada seluruh negara telah kehilangan punca pendapatan.
"Melalui penyerahan memorandum ini, diharap pihak Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dapat memanjangkan perkara ini kepada Perdana Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Parlimen dan Undang-Undang serta Ketua Hakim Negara bagi membolehkan pelelong di dalam sistem e-lelong melakukan kerja-kerja pralelongan sebelum lelongan diteruskan secara dalam talian," katanya, baru-baru ini.
Terdahulu, Muzakir yang mewakili Jawatankuasa Bertindak Pertubuhan Pelelong Negeri-Negeri Malaysia menyerahkan memorandum tersebut kepada Setiausaha Sulit kepada YDP, Mohd Abdul Rahman Ismail.
Katanya, meskipun sistem e-lelong yang dilakukan secara dalam talian itu dilihat sebagai pemudah cara, namun dakwanya ia dibimbangi akan mendatangkan kesulitan buat defendan (pemilik hartanah) untuk mencari pembida bagi hartanah milik mereka untuk dilelong jika capaian internet di sesebuah kawasan tidak memuaskan.
"Dalam pada itu, penamatan khidmat pelelong ekoran pelaksanaan sistem tersebut juga mewujudkan monopoli oleh syarikat yang juga panel pelelong bagi pihak bank.
"Malah, tindakan tersebut juga akan mewujudkan industri tidak seimbang iaitu semua pelelong dilantik Mahkamah Tinggi sebelum ini melalui proses penggiliran namun kini ia dimonopoli oleh 10 syarikat pelelong berkapasiti besar," jelasnya.
Beliau menambah, situasi tersebut juga telah menyebabkan pelelong tradisi berdaftar kehilangan pendapatan bulanan sekitar RM11 juta iaitu seorang pelelong mampu meraih pendapatan kira-kira RM5,000 sebulan.
"Kita sudah kemukakan cadangan mengenai penambahbaikan sistem ini sejak 2017 lagi dan ini adalah kali ketiga (kemuka cadangan) dengan harapan agar kerja-kerja pra lelongan ini dapat dilaksanakan oleh semua pelelong berdaftar dengan Mahkamah Tinggi Malaya secara sistem penggiliran yang akan ditetapkan oleh pihak Mahkamah Tinggi di setiap negeri," katanya sambil menyatakan bahawa sebanyak 200 orang pelelong berdaftar di negeri ini.
Sistem e-lelong, pertama di Malaysia telah dibangunkan pada 1 Jan 2020 bagi mengendalikan lelongan awam secara dalam talian mengikut waktu sebenar yang mampu meningkatkan peluang orang awam memiliki aset tetap khususnya rumah kediaman pada nilai sebenar tanpa manipulasi harga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram