
INDIVIDU atau pun pihak yang perlu bekerja di ruang tugasan terkurung terikat dengan Kod Amalan Bekerja Selamat Di Ruang Terkurung (ICOP) 2010.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, hanya individu bertauliah yang dibenarkan melaksanakan kerja di ruang terkurung.
Merujuk kepada insiden dua pekerja maut ekoran terhidu gas beracun dalam lubang laluan air ‘manhole’ di Cyberjaya, Lam Thye menjelaskan setiap individu di ruang seperti itu perlu menjalani latihan dan memiliki sijil sebelum dibenarkan bekerja.
"Pekerja yang bekerja di ruang terkurung perlu menjalani latihan dan tahu prosedur menyelamat jika berlaku sebarang insiden, contohnya jika bekerja di tempat pembetungan.
"Pekerja tidak boleh turun ke dalam lubang pembetungan yang sempit seorang diri, perlu ada pengiring atau orang memantau keadaan mereka sepanjang tempoh mereka bekerja,” katanya.
Menurut Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (DOSH), atmosfera dalam ruang terkurung adalah bahaya kerana gas toksik terkumpul adalah melebihi daripada had yang dibenarkan.
Selain itu, ruang terkurung juga mempunyai gas mudah terbakar dan kandungan oksigen kurang daripada 19.5 peratus atau melebihi 23.5 peratus.
Dalam insiden 21 Ogos lalu, dua warga India maut dipercayai akibat terhidu gas beracun ketika melakukan kerja-kerja memasang kabel di dalam lubang laluan air ‘manhole’ di Persiaran SP3, Cyberjaya.
Dalam masa sama, Lam Thye juga berpesan kepada semua pekerja berkaitan supaya sentiasa menguji kandungan gas di ruangan terkurung sebelum memulakan tugasan.
"Pekerja perlu pastikan ruang bekerja bebas daripada gas toksik kerana ia boleh membahayakan nyawa.
“Oleh itu, sebelum masuk ke dalam ruang terkurung, pekerja perlu guna alat menguji gas untuk memastikan keadaan selamat,” katanya. – Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram