TINDAKAN seorang lelaki yang cuba mencuri akhirnya diketahui penduduk apabila kepalanya tersangkut pada siling kiosk di Desa Kempek, Kecamatan Gempol, Kabupaten Cirebon, Indonesia pada Jumaat.
Menerusi rakaman yang berdurasi 37 saat itu, suspek dilihat cuba menggerakkan tubuhnya untuk melepaskan diri apabila kepala hingga paras pinggang tersangkut di atas siling kiosk.
Malah, suspek juga dilaporkan ketakutan sehingga terkencing ketika dicekup orang ramai.
"Awalnya penjaga warung sebelah ada mendengar jeritan orang meminta tolong. Setelah dilihat oleh penduduk ternyata ada pencuri," kata pemilik kiosk, Faruk Majidi pada Jumaat.
Faruk berkata, kiosk yang ditutup pada waktu malam itu pernah dicuri sebanyak tiga kali di laluan yang sama di bumbung belakang.
Mengulas lanjut, Faruk berkata, pencuri kebiasaannya menggunakan tiang menara di bahagian belakang sebagai akses untuk memasuki kiosk.
Malah, daripada dua kes kecurian yang berjaya meloloskan diri, pemilik kiosk mengalami kerugian lebih Rp4 juta (bersamaan RM1,196).
Barangan yang dicuri termasuk pemacu kilat USB, kad SD, telefon pintar dan wang tunai.
Namun, kerana bersimpati dengan suspek yang masih bergelar pelajar, pemilik kiosk tersebut ingin menyelesaikan kes itu secara baik dengan meminta suspek membayar ganti rugi kerosakan kiosk. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
