HARAPAN manusia untuk tinggal di Marikh semakin menjadi kenyataan apabila Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berjaya menghasilkan oksigen di planet tersebut.
Usaha agensi Amerika Syarikat (AS) itu tercapai menerusi mesin bersaiz ketuhar dikenali sebagai Mars Oxygen In-Situ Resource Utilization Experiment (MOXIE) yang dibawa menggunakan kenderaan robotik atau Rover Perseverance.
Menurut NASA, mesin MOXIE boleh menghasilkan oksigen yang mencukupi untuk menampung keperluan seekor anjing hidup selama 10 jam.
Timbalan Pentadbir NASA, Pam Melroy barkata, prestasi MOXIE menunjukkan keupayaan untuk menukar udara di Marikh menjadi oksigen yang boleh digunakan dalam bahan api dan juga oksigen untuk angkasawan jika mendarat di sana pada masa depan.
"Perkembangan teknologi itu membolehkan NASA menggunakan sumber di Bulan dan Marikh untuk membolehkan kita memulakan misi jelajah manusia ke Marikh," katanya.
Pada tahun 2021, mesin MOXIE yang dicipta oleh pakar dari Institut Teknologi Massachusetts (MIT) telah berjaya menghasilkan sekurang-kurangnya 122 gram oksigen atau bersamaan dengan 10 jam udara bernafas untuk seekor anjing kecil.
MOXIE mampu menghasilkan 12 gram oksigen sejam dengan tahap ketulenan 98 peratus atau lebih baik, yang melebihi dua kali ganda jangkaan awal NASA.
Dalam penerbangan ke-16 pada 7 Ogos lalu, yang merupakan penerbangan terakhir MOXIE, mesin ini menghasilkan 9.8 gram oksigen.
Ini bermakna MOXIE berjaya menyelesaikan semua keperluan teknikalnya dan beroperasi dalam pelbagai keadaan selama setahun penuh di Marikh.
"Kami berbangga untuk menyokong teknologi terobosan seperti MOXIE yang boleh mengubah sumber tempatan menjadi produk berguna untuk misi penerokaan masa hadapan.
"Dengan memasukkan teknologi ini dalam keadaan dunia sebenar, kami selangkah lebih dekat dengan masa depan di mana angkasawan boleh hidup di Marikh," kata Trudy Kortes, pengarah demonstrasi teknologi, Direktorat Misi Teknologi Angkasa (STMD) di Ibu Pejabat NASA di Washington. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram