'Nak wujudkan Covid-19 ke?', selera aneh YouTuber undang kecaman


  • Benua
  • Khamis, 10 Nov 2022

Tangkap layar video wanita itu menunjukkan kelawar yang dimasak bersama sup pedas di saluran YouTube miliknya.

SEORANG YouTuber terkenal di Thailand menjadi mangsa kecaman orang ramai gara-gara memuat naik satu klip video memaparkan aksinya menikmati sup kelawar dan menggalakkan orang lain untuk memakannya, lapor laman berita Thaiger pada Selasa.

Menerusi saluran YouTube miliknya yang diberi nama ‘Gin Zap Bep Nua Nua’ (makan pedas dan sedap), wanita itu dilihat mengoyak daging kelawar yang dimasak sup bersama tomato ceri, sebelum mencelupnya ke dalam sos pencicah yang dipanggil Nam Jim.

Wanita itu menyuarakan ‘keenakan’ rasa kelawar dan membandingkan rasa haiwan itu dengan daging tikus.

Pada satu ketika, dia mengangkat daging kelawar itu dan berkata: “Ia mempunyai gigi.”

Selepas memakan daging haiwan eksotik itu, dia kemudian mengunyah tulang kelawar tersebut sambil berkata, bahawa ia sangat lembut.

Dalam pada itu, seorang profesor di sebuah universiti tempatan sempat memberikan komen tentang tindakan wanita terbabit.

“Anda tidak boleh mengambil ringan (risiko) dengan kelawar,” kata Profesor Teerawat Hemajuta dari Fakulti Perubatan di Universiti Chulalongkorn.

Menurut beliau, kelawar mengandungi patogen yang boleh membuatkan manusia sakit teruk dan memulakan satu lagi wabak penyakit.

“Walaupun dimasak dengan betul, masih terdapat risiko tinggi untuk manusia dijangkiti,” katanya.

Video itu mendapat pelbagai reaksi orang ramai di ruangan komen.

“Jika anda mati, matilah seorang diri, tiada siapa yang akan menyalahkan anda. Tetapi anda akan dikutuk jika memulakan wabak,” kata seorang pengguna.

“Nak mulakan Covid-19 semula ke? Anda meletakkan diri anda dalam risiko. Kalau sakit jangan bebankan doktor dan jururawat,” komen pengguna lain. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram