[VIDEO] Ular 'tolak' ciuman lelaki, balas dengan bisa


  • Benua
  • Isnin, 03 Okt 2022

Alex secara tiba-tiba cuba mencium salah seekor haiwan tersebut pada bahagian mulut. — Agensi

SEORANG lelaki di India dipatuk seekor ular pada bahagian bibir selepas cuba mencium reptilia tersebut ketika menyelamatkannya, lapor akhbar Daily Star pada Ahad.

Lelaki itu dikenali sebagai Alex dan ketika kejadian, dia cuba menyelamatkan dua ekor ular berhampiran sebuah kampung di Shivamogga, Karnataka, India.

Dia yang merupakan seorang penyelamat ular menangkap haiwan itu bersama rakannya, Roni, sebelum melepaskan kembali reptilia tersebut ke kawasan hutan berdekatan.

Bagaimanapun, Alex secara tiba-tiba cuba mencium mulut salah seekor ular tersebut, menyebabkan ular itu mematuk bibir lelaki berkenaan dan mencederakannya.

Dia dibawa ke sebuah hospital daerah di Shivamogga, India untuk mendapatkan rawatan dan dibenarkan pulang beberapa jam selepas mendapatkan rawatan.

Kedua-dua repitilia itu turut dilepaskan ke dalam hutan, namun punca Alex mahu mencium seekor ular itu tidak diketahui.

Video insiden tersebut menjadi tular di media sosial dengan sebilangan pengguna mendakwa bahawa sudah menjadi perkara biasa bagi penduduk tempatan bertembung atau dipatuk ular.

“Tiada sesiapa yang pernah mati dipatuk reptilia di kampung berhampiran Varanasi yang mana ular tedung berkeliaran seperti anjing jalanan,” kata pengguna media sosial.

Tidak dinyatakan spesies ular yang mematuk Alex, namun ia kelihatan seperti ular tedung dan berkemungkinan juga bukan daripada spesies yang sangat berbisa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Patukan Ular, India, Alex, Viral