MALANG tidak berbau buat dua beradik apabila maut dipatuk ular dalam tempoh yang singkat.
Memetik laporan India Times, seorang lelaki di India maut akibat dipatuk ular selepas menghadiri upacara pengebumian abangnya yang juga meninggal dunia selepas dipatuk haiwan berbisa itu.
Menurut pegawai polis, Govind Mishara, 22, menghadiri upacara pengebumian abangnya Arvind Mishra, 38, yang diadakan di kampung Bhawanipur, Kolkata, Bengal Barat, India pada Rabu.
Arvind dipatuk ular dan maut pada Selasa lalu, kata pegawai polis, Radha Raman Singh.
“Govind terbunuh selepas dipatuk ular ketika tidur. Salah seorang ahli keluarga mereka, Chandrashekar Pandey, 22, yang berada di rumah sama turut dipatuk ular.
“Chandrashekar dikejarkan ke hospital yang mana keadaannya masih kritikal,” katanya.
Dua lelaki berkenaan telah melakukan perjalanan sejauh 80 kilometer dari bandar Ludhiana untuk menghadiri upacara itu.
Pegawai kanan perubatan dan pentadbiran melawat kampung itu pada Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri, Kailash Nath Shukla bertemu dengan keluarga mangsa dan memberi jaminan akan berikan bantuan.
Shukla meminta pegawai tempatan mengambil langkah untuk mencegah kejadian seumpama itu pada masa hadapan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram