13 wanita dan kanak-kanak maut terjatuh dalam perigi


  • Benua
  • Rabu, 23 Feb 2022

KEJADIAN berlaku di sebuah perkampungan di daerah Kushinagar di negeri Uttar Pradesh, India. — Agensi

SERAMAI 13 wanita dan kanak-kanak perempuan maut selepas terjatuh ke dalam perigi terbiar ketika menyanyi dan menari di majlis perkahwinan.

Dalam kejadian itu, kesemua mangsa terjatuh selepas lantai konkrit yang menutup perigi terbiar tersebut runtuh kerana tidak mampu menampung berat semua mangsa.

Kejadian berlaku di sebuah perkampungan di daerah Kushinagar di negeri Uttar Pradesh, India.

Pegawai di utara India berkata, terdapat sepuluh lagi penduduk kampung lain cedera selepas mereka terjatuh ke dalam perigi dan dibawa ke hospital di daerah berkenaan.

"Perigi itu sedalam lebih 15 meter,"kata Muralidhar Singh, seorang penyelamat.

Sementara itu, Perdana Menteri, Narendra Modi menggelar kejadian itu sebagai "menyayat hati" dan berkata, beliau berdoa agar mangsa yang cedera segera pulih.

"Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang maut dalam kejadian ini.

"Dengan ini, saya berharap mereka yang cedera cepat sembuh. Pentadbiran tempatan akan terlibat dalam semua bantuan yang mungkin," ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram