Blinken, Abbas bincang hubungan dua hala


  • Benua
  • Selasa, 01 Feb 2022

PENTADBIRAN Biden komited untuk membuka semula Konsulat AS di Baitulmaqdis Timur. — Agensi

PRESIDEN Palestin Mahmoud Abbas dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken pada Isnin membincangkan hubungan dua hala dan perkembangan terkini di Palestin dalam satu perbualan telefon.

Abbas mengulangi kepada Blinken bahawa keadaan semasa tidak boleh berterusan.

Israel sepatutnya menghentikan aktiviti pencerobohan untuk penempatan dan serangan oleh penduduk Yahudi serta pengusiran rakyat Palestin dari kawasan kejiranan Baitulmaqdis, katanya.

Abbas juga menekankan keperluan untuk menghentikan amalan satu hala Israel yang menjejaskan penyelesaian dua negara serta melaksanakan perjanjian yang ditandatangani antara kedua-dua pihak.

Beliau menegaskan kepentingan untuk terus berusaha mengukuhkan hubungan dengan AS dan menangani kekangan yang menghalang hubungan itu.

Sementara itu, Blinken menegaskan semula akan komitmen AS terhadap penyelesaian dua negara.

Beliau menyatakan pentadbiran Biden menyedari kesukaran politik dan ekonomi yang sedang dilalui Pihak Berkuasa Palestin dan menekankan penolakannya terhadap pencerobohan, serangan dan pencerobohan penempatan ke kawasan Pihak Berkuasa Palestin.

Beliau menambah bahawa pentadbiran Biden komited untuk membuka semula Konsulat AS di Baitulmaqdis Timur. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram