BIRO Perkhidmatan Cuaca Nasional (NWS) Miami-Florida, Amerika Syarikat memberi amaran kepada orang ramai bahawa iguana akan jatuh dari pokok pada hari Ahad akibat suhu sejuk yang luar biasa.
"Iguana berdarah sejuk. Ia akan menjadi perlahan dan tidak boleh bergerak langsung apabila suhu jatuh bawah sekitar 4 hingga 9 darjah celsius (°C).
"Mereka mungkin jatuh dari pokok ke tanah, tetapi mereka masih hidup walaupun kelihatan seperti tidak bernyawa," kata NWS di Twitter.
— NWS Miami (@NWSMiami) January 30, 2022
Menurut NWS, suhu di Florida Selatan mencecah paras rendah 25 darjah Fahrenheit (-3.89 °C) pada pagi Ahad.
Ribut salji musim sejuk membawa maut telah melanda sekitar Timur Laut negara itu pada Sabtu.
Bencana itu mendorong kepada pengisytiharan kecemasan dan menyebabkan lebih 1,400 jadual penerbangan terpaksa dibatalkan.
Ahli zoologi, Stacey Cohen, pakar reptilia Zoo Palm Beach, Florida menjelaskan tentang fenomena iguana jatuh dari pokok kepada stesen televisyen WPBF.
"Badan iguana pada dasarnya akan kehilangan fungsi. Mereka tidur di atas dahan pokok sebelum hilang keupayaan untuk bertahan dan jatuh ke tanah ketika cuaca sejuk," kata Cohen.
Cohen berkata, suhu beku adalah ancaman kepada kelangsungan hidup iguana walaupun kebanyakan reptilia boleh bertahan dalam tempoh ini.
Musim sejuk melampau pada 2010 menghapuskan sebilangan besar populasi haiwan itu.
"Kesejukan melampau akan mengancam nyawa iguana kerana mereka berasal dari bahagian Amerika Tengah dan Amerika Selatan yang berhampiran dengan khatulistiwa," katanya.
Menurut Suruhanjaya Pemuliharaan Ikan dan Hidupan Liar Florida, iguana hijau bukan haiwan asal Florida dan ia merupakan spesies invasif.
Berat iguana boleh mencecah sehingga 17 paun (7.5 kilogram) dan panjangnya boleh mencecah lima kaki (1.50 meter).
Iguana bukan haiwan pertama yang menghadapi kesan akibat musim sejuk ini.
Beratus-ratus ribu ikan yang diternak di barat laut Greece turut mati selepas negara itu dilanda ribut salji yang lebat. — Reuters
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram