Tiga hari lipas dalam telinga


  • Benua
  • Sabtu, 15 Jan 2022

LIPAS yang ditarik keluar dari dalam telinga Zane oleh pakar. — Agensi

ZANE Wedding, 40, dari Aukland, New Zealand pada mulanya menyangka air tersumbat dalam telinganya setelah dia berenang di kolam renang pada Jumaat.

Zane tidak menyangka bahawa seekor lipas telah masuk dan berada di dalam telinga kirinya selama tiga hari.

Apabila dia pulang ke rumah, dia merasakan telinganya sakit kerana tersumbat.

"Saya menitiskan beberapa titisan ubat ke dalam telinga sebelum tertidur lena di sofa lewat malam itu.

"Apabila bangun pada keesokan paginya, telinga saya masih tersumbat dan sakit.

"Saya terus pergi berjumpa doktor," tambahnya.

Doktor memberitahu kemungkinan air tersumbat dalam telinga Zane.

Doktor itu mencadangkan supaya dia pulang ke rumah dan menggunakan pengering rambut untuk mengeringkan air dalam telinganya.

Tetapi Zane merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

" Saya menghabiskan hujung minggu dengan berbaring di sisi dan menghalakan pengering rambut di telinga saya.

"Apabila saya bangun untuk berjalan, saya serta-merta pening.

"Apabila baring, saya dengar seperti ada air bergerak di sekitar gegendang telinga saya," katanya.

"Saya turut mencuba pelbagai kaedah untuk menghilangkan kesakitan termasuk berlari, mengunyah gula-gula getah, terapi lilin telinga dan melompat dengan sebelah kaki, tetapi tidak berjaya," tambahnya.

Zane kemudiannya mengambil keputusan untuk berjumpa pakar telinga, hidung dan tekak.

Sebaik sahaja pakar melihat ke dalam telinga Zane, dia memberitahu ada serangga di dalam telinganya.

"Pada saat itu, saya mula sedar pergerakan air yang disangka dalam telinga sebenarnya adalah pergerakan lipas.

"Saya serta-merta terfikir hakikat bahawa saya baru sahaja mengepam udara panas ke dalam kepala dan 'memasak' lipas dalam telinga saya sepanjang hujung minggu dan ia membuatkan saya berasa sakit," katanya.

"Doktor pakar mengambil masa kurang dari lima minit untuk mengeluarkan lipas itu.

"Ia amat melegakan dan saya berasa amat sebak sebaik doktor pakar menariknya keluar," tambah Zane. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

benua, lipas, telinga, tersumbat, berenang