PINDAAN Akta Kawalan Doping Thailand 2012 dijangka selesai bulan depan dalam usaha untuk menamatkan penggantungan yang dikenakan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).
Jurucakap kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata, Thailand meminda 24 bahagian undang-undang berkaitan piawaian WADA, draf pindaan akan diserahkan kepada kabinet Selasa depan.
"Proses pindaan itu dijangka selesai Januari 2022.
"Sebaik proses pindaan selesai, agensi berkenaan akan berhubung dengan WADA untuk menarik balik penggantungan itu. Thailand juga sekali lagi akan membuat rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung penggunaan bendera negara pada acara sukan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata kerajaan tidak berdiam diri sebaliknya berusaha untuk menangani masalah sejak awal lagi untuk menyelesaikan isu itu secepat mungkin.
"Ini juga untuk mengelakkan kesan sosioekonomi dan menaikkan semangat atlet serta kakitangan,” katanya.
Pada Oktober, Thailand gagal mematuhi Kod Anti-Doping Dunia 2021 oleh WADA.
Berikutan itu, Thailand tidak layak untuk diberikan hak untuk menjadi tuan rumah acara sukan utama serantau dan antarabangsa.
Selain itu, Thailand juga kehilangan keistimewaan yang disediakan WADA termasuk keahlian wakil mereka, jawatankuasa, badan atau persatuan sehingga penggantungan ditarik balik.
Namun, atlet Thailand dibenarkan untuk bertanding dalam kejohanan serantau, benua atau dunia tetapi tidak boleh mengibarkan bendera negara selain di Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik.
Berikutan itu, bendera Persatuan Badminton Thailand tidak dinaikkan semasa majlis penyampaian hadiah untuk beregu campuran, Dechapol Puavaranukroh dan Sapsiree Taerattanachai yang memenangi kejuaraan dunia pertama mereka di Kejohanan Dunia BWF di Huelva, Sepanyol. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram