FILIPINA menafikan laporan media antarabangsa mendakwa ratusan ahli kumpulan militia dari selatan negara itu merancang untuk menyerang Sabah.
Media antarabangsa pada Khamis melaporkan berlaku mesyuarat rahsia yang dihadiri oleh 19 Datuk Bandar di Kepulauan Sulu di barat laut Filpina, kira-kira 400 kilometer dari Sabah.
Mesyuarat itu didakwa bagi membincangkan tentang usaha untuk merekrut 600 anggota militia bagi menceroboh negeri berkenaan.
Susulan laporan tersebut, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan segera berdepan sebarang ancaman dan menegaskan keselamatan negara berada di tahap terkawal.
Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana pada Jumaat menegaskan dakwaan pencerobohan itu adalah tidak benar sama sekali.
Sementara itu, jurucakap ketenteraan Filipina di Sulu, Jerrica Angela Manongdo menyatakan laporan terbabit tidak berasas.
"Kami segera meneliti perkara tersebut sejurus mengetahui tentang laporan berita itu. Berdasarkan maklumat yang kami peroleh, tiada perkara sebegitu berlaku.
"Kami tidak tahu motif di sebalik laporan tersebut," katanya kepada Arab News.
Manongdo turut mengesahkan mesyuarat rahsia itu diadakan awal bulan ini tetapi bagi membincangkan isu maritim kepulauan terbabit dan tindakan bencana. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
