Polis tahan tiga suspek terlibat kumpulan militan Jemaah Islamiah


  • Benua
  • Rabu, 24 Nov 2021

JI bertanggungjawab dalam insiden pengeboman Bali 2002 — Agensi
KUMPULAN militan Jemaah Islamiah (JI) dikesan menyusup masuk ke dalam institusi agama dan awam di Indonesia dalam usaha mereka menyebarkan ideologi.

Seramai tiga orang lelaki ditahan oleh pihak polis negara itu kerana disyaki terlibat dengan kutipan dana untuk kumpulan tersebut.

Tiga individu berkenaan ialah ahli Majlis Ulama Indonesia, Ahmad Zain An-Naja, penceramah Farid Okbah dan pensyarah universiti, Anung Al-Hamat.

Pengarah Pencegahan Anti-Keganasan, Ahmad Nurwakhid mengatakan penahanan itu menunjukkan JI sudah menyusup masuk ke dalam setiap aspek kehidupan masyarakat.

"Berkemungkinan mereka menyusup ke dalam badan agama termasuklah badan sukan serta kelab permotoran," ujar Ahmad Nurwakhid.

Sejak 2010, pihak berkuasa Indonesia sudah menahan 18 orang awam, lapan pegawai polis dan lima tentera yang dikaitkan dengan JI.

"Mereka sangat bagus dalam menyembunyikan wajah sebenar," katanya pengarah itu.

Sebelum ini, JI bertanggungjawab dalam serangan ganas termasuk insiden pengeboman Bali 2002 yang mengorbankan 202 orang.

Serangan terakhir yang diarahkan secara langsung oleh JI adalah pada 2007 namun kini kumpulan pengganas itu memberi fokus untuk merekrut ahli, mengutip dana dan menyebarkan ideologi secara rahsia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram