SEORANG lelaki Muslim berusia 22 tahun ditemukan meninggal dunia pada Selasa di sebuah balai polis di India selepas dipanggil untuk sesi soal siasat.
Mangsa dikenali sebagai Mohammad Altaf yang merupakan seorang buruh dan tingal di bandar Kasganj di negeri Uttar Pradesh, utara India.
Sebelum ini, Mohammad Altaf dipanggil ke balai polis untuk sesi soal siasat berhubung dakwaan penculikan seorang gadis Hindu bawah umur.
Dalam satu kenyataan, polis berkata, Altaf mati akibat bunuh diri di dalam tandas menggunakan tali yang diikat pada paip dan laporan bedah siasat menyebut asfiksia atau sesak nafas sebagai punca kematian.
Bagaimanapun, ahli keluarga mangsa yakin bahawa pihak polis yang membunuhnya ketika berada dalam tahanan.
Ibu kepada mangsa memberitahu portal berita NewsClick bahawa anaknya mengalami kecederaan dalam kepala dan bengkak kaki.
"Kami perlukan keadilan!" gesanya.
Perkara itu juga disahkan oleh ibu saudara Altaf yang mendakwa dia telah menyoal polis tentang kesan lubang di kepala mangsa.
"Terdapat bengkak pada muka dan kakinya. Ibu bapanya ditekan oleh polis untuk tidak bercakap dengan media,” kata ibu saudara Altaf kepada Times of India.
Beberapa pengguna media sosial menuntut keadilan daripada kerajaan negeri Parti Bharatiya Janata (BJP) nasionalis Hindu, menggunakan hashtag seperti #UP_police_murdered_Altaf dan #WeDemandJusticeForAltaf.
Aktivis dan parti pembangkang juga telah menuntut kerajaan untuk menyiasat kes ini.
“Altaf telah ditahan, dan dalam masa 24 jam, ditemui mati. Polis mendakwa dia membunuh diri sendiri — kemungkinan menyembunyikan pembunuhan. Jenayah dia? Menjadi Muslim di #India,” tulis profesor undang-undang Khaled Beydoun menerusi satu ciapan di Twitter.
Lima anggota polis digantung tugas kerana cuai susulan kejadian itu tetapi masih belum dapat meredakan kemarahan orang ramai.. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram