SEEKOR buaya besar ditikam berulang kali oleh seorang warga emas yang menggunakan sebilah pisau pocket kerana mahu menyelamatkan diri daripada dibaham haiwan tersebut, kata pihak berkuasa tempatan pada Rabu.
Warga emas lelaki berusia 60 tahun itu bertindak menikam haiwan tersebut ketika reptilia itu mengheretnya ke sebatang sungai di Semenanjung Cape York, utara Australia.
Dia mengalami kecederaan daripada kejadian tersebut lalu memandu sendiri untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan perubatan.
Kejadian itu berlaku pada minggu lalu tetapi hanya didedahkan pada Rabu.
Ia bermula ketika warga emas tersebut mahu memancing tetapi reptilia itu tiba-tiba muncul dari permukaan air dan menyerang lalu menjatuhkannya di sungai tersebut.
Buaya tersebut kemudian menarik kaki warga emas berkenaan yang memakai kasut but sebelum mengheret lelaki tersebut ke tebing sungai namun dia sempat memeluk sebatang pokok bakau tetapi terpaksa melepaskan pelukan setelah tenaganya hilang.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan sempat mengambil sebilah pisau poket pada tali pinggangnya untuk menikam berulang kali kepala haiwan tersebut menyebabkan reptilia itu pada akhirnya melepaskannya.
Bilangan buaya air masin telah meningkat di Australia selepas ia diisytiharkan sebagai haiwan yang dilindungi sejak tahun 1971. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram