PULAU peranginan Indonesia, Bali bakal dibuka semula kepada pelancong antarabangsa pada Khamis dengan setiap pelancong asing perlu mempunyai insurans kesihatan lebih RM400,000 termasuk pembiayaan untuk menangani Covid-19.
Ketua Persatuan Hotel dan Restoran Indonesia, Hariyadi Sukamdani berkata, sebanyak 8,000 bilik di 35 hotel berstatus tiga hingga lima bintang disediakan untuk kegunaan kuarantin dan penginapan semasa pelancong antarabangsa berada di pulau itu.
"Kami telah membuat persiapan ini selama 19 bulan dengan penuh teliti. Kami telah bersedia menyambut tetamu antarabangsa," kata Sukamdani kepada Xinhua pada Isnin.
Sukamdani menganggarkan pada fasa awal hanya kira-kira 2,000 bilik akan digunakan, tetapi jumlahnya akan bertambah jika lebih ramai pengunjung yang datang.
Pelancongan di Bali kembali pulih dalam beberapa minggu terakhir berikutan semakin banyak pelancong domestik datang dengan kadar penginapan hotel meningkat 35 peratus,” katanya.
Sementara itu, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan mengatakan pelancong asing yang datang dari negara-negara dengan kadar positif Covid-19 kurang lima peratus dan mereka yang telah diberi vaksin lengkap Covid-19 dibenarkan berkunjung ke Bali.
Selagi ujian Covid-19 mereka negatif dalam tempoh 72 jam sebelum berangkat ke Indonesia dan mempunyai bukti tempahan penginapan, para pelancong dibenarkan mengunjungi Indonesia.
Katanya, pelancong juga mesti mempunyai insurans kesihatan dengan nilai perlindungan minimum AS$100,000 (RM416,183.55), termasuk pembiayaan untuk menangani Covid-19.
"Mereka hanya perlu menjalani lima hari kuarantin, berbanding lapan hari sebelum ini.
"Jika keputusan ujian PCR pada hari keempat adalah negatif, mereka dibenarkan meninggalkan tempat kuarantin pada hari kelima," katanya.
Sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai di Bali, setiap pelancong diminta untuk melakukan pemeriksaan fizikal, antaranya ujian reaksi polimerase berantai (PCR).
Lapangan terbang ini telah menyediakan bilik ujian PCR dengan kapasiti 3,840 ujian setiap hari. — Agensi