Bali akan dibuka untuk pelancongan bermula 14 Oktober


  • Benua
  • Selasa, 05 Okt 2021

Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai akan menerima kehadiran pelancong antarabangsa bermula 14 Oktober ini. — AFP

INDONESIA akan membuka semula pulau pelancongan popularnya, Bali, kepada pelancong antarabangsa dari beberapa negara bermula 14 Oktober ini susulan jumlah jangkitan Covid-19 di republik itu semakin menurun.

Menteri Kanan, Luhut Panjaitan berkata, pelancong dari negara-negara terpilih seperti China, New Zealand, Jepun, Korea Selatan, dan lain-lain akan dibenar mengunjungi Indonesia melalui penerbangan antarabangsa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai.

Katanya, pembukaan semula sektor pelancongan dan kelonggaran sekatan di republik itu dilakukan secara beransur-ansur kerana "tidak mahu perkara yang tidak dijangka berlaku".

Indonesia merupakan negara paling teruk dilanda wabak Covid-19 di Asia, mencatatkan lebih dari empat juta kes dan 142,000 kematian, walaupun pakar kesihatan awam percaya jumlah sebenarnya jauh lebih tinggi.

Walau bagaimanapun, kes harian telah merosot dari lebih 56,000 kes pada pertengahan Julai lalu kepada 1,100 kes pada 3 Oktober baru-baru ini.

Kerajaan sebelum ini telah menunjukkan kesediaannya untuk membuka kembali pulau berkenaan kepada pelancong antarabangsa bagi membantu menghidupkan kembali ekonominya. — Reuters

bali, pelancongan, covid-19