PAKAR kesihatan Arab Saudi menegaskan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 untuk semua orang tidak disokong oleh kajian.
Menurut pakar penyakit berjangkit, Ahmed al-Hakawi, berdasarkan kajian "Safety and Efficacy of the BNT162b2 mRNA Covid-19 Vaccine through 6 Months" yang diterbitkan pada 15 September, vaksin masih memberikan perlindungan terhadap penyakit teruk dalam tempoh enam bulan selepas dos kedua.
Kajian berkenaan dilakukan terhadap lebih 45,000 orang di enam buah negara.
Selain itu, kajian tersebut turut menyimpulkan melalui susulan selama enam bulan dan meskipun penurunan keberkesanan vaksin secara bertahap, BNT162b2 memiliki profil keselamatan yang baik dan sangat berkesan dalam mencegah Covid-19.
Arab Saudi merekodkan 68 kes baharu pada Sabtu, menjadikan jumlah kes yang disahkan meningkat kepada 546,479.
Negara itu turut merekodkan lima kematian baharu dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kumulatif kematian 8,656 orang.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Abdullah Assiri, menyifatkan alasan tidak munasabah untuk masyarakat menerima dos ketiga jika dua dos vaksin berupaya mencecah penyakit teruk atau kemasukan ke hospital dan kematian.
Jelas beliau, pada tahap liputan vaksinasi yang sangat baik, perlu dipertimbangkan semula rasional dan kaedah ujian saringan makmal untuk Covid-19 dan menilai pandemik hanya daripada perspektif beban penyakit kepada masyarakat.
Kenyataan itu dibuat berikutan cadangan suntikan dos penggalak vaksin Pfizer BioNTech untuk masyarakat umum dan suntikan ketiga untuk individu berusia 65 tahun ke atas dan golongan rentan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram