Thailand laksana campuran dua dos vaksin, tawar suntikan dos ketiga


  • Benua
  • Sabtu, 11 Sep 2021

THAILAND akan menggunakan campuran vaksin Sinovac dan AstraZeneca, Sinovac dan Pfizer-BioNTech serta AstraZeneca dan Pfizer-BioNTech.

THAILAND akan melaksanakan pelan vaksinasi menggunakan kaedah campuran (mix and match) dua jenis vaksin Covid-19, seawal Oktober dalam usaha negara ini membendung penularan wabak itu.

Pengarah Bahagian Berita Jabatan Penerangan Kementerian Luar, Pensom Lertsithichai berkata, mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) yang dipengerusikan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha bersetuju dengan pelan vaksinasi itu.

Beliau berkata, Thailand akan meneruskan pelan itu, selepas berunding dan mendapatkan nasihat Kementerian Kesihatan Awam dan kaedah itu mencampurkan vaksin Sinovac dan AstraZeneca, Sinovac dan Pfizer-BioNTech serta AstraZeneca dan Pfizer-BioNTech.

"Kita melakukan perubahan pada vaksinasi ini (campuran vaksin) pada akhir September, kerana akan menerima sejumlah besar vaksin mRNA, Pfizer-BioNTech yang kita beli dan akan kita gunakan," katanya dalam satu sidang media.

Sementara itu, Pensom berkata Thailand akan menawarkan suntikan penggalak atau booster kepada mereka yang telah menyelesaikan dua dos vaksin Covid-19 Sinovac, seawal bulan ini.

Mereka yang telah menerima dua suntikan Sinovac sejak Mac hingga Mei akan menerima booster.

"Mereka akan menerima vaksinasi booster AstraZeneca atau Pfizer-BioNTech... kita mulakan secepat mungkin, dijangka pada akhir September atau awal Oktober," katanya.

Bermula pertengahan Julai, Thailand telah memberikan suntikan vaksin mRNA yang diimport kepada petugas barisan hadapan yang sebelum ini menerima Sinovac.

Thailand melanjutkan sekatan Covid-19 termasuk perintah berkurung waktu malam selama tujuh jam sehingga 30 September, di Bangkok dan 28 wilayah di bawah 'zon merah gelap', dalam usaha memastikan kes jangkitan menunjukkan trend penurunan.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 14,403 kes baharu Covid-19 dan 189 kematian, menjadikan jumlah jangkitan sebanyak 1,352,953 dan 13,920 kematian.Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

campur vaksin, covid-19, thailand