Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia


  • Massa
  • Sabtu, 20 Apr 2024

Tun Haji Mohammed Hanif Omar meninggal dunia pada pukul 2.15 pagi Sabtu.

BEKAS Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif bin Omar disahkan meninggal dunia pada pukul 2.15 pagi Sabtu.

Makluman pemergian ketua polis negara yang paling lama berkhidmat itu dimuat naik di laman Facebook anaknya, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Mohamed Hanif pada Sabtu.

"Dengan perasaan amat dukacita. Innalillahi wa inna ilaihi raji'un.

"Saya, Abdul Rahmat Omar bin Mohamed Haniff, ingin memaklumkan pemergian pulang ke Rahmatullah Ayahanda kami yang dikasihi, Tun Haji Mohammed Hanif bin Omar sekitar jam 2.15 pagi tadi, Sabtu 20 April 2024," kata Abdul Rahmat.

Mohammed Hanif, 85, merupakan Ketua Polis Negara Malaysia yang keempat dan juga Ketua Polis Negara yang paling lama berkhidmat di Malaysia iaitu selama 20 tahun.

Beliau menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang terbunuh akibat serangan komunis pada 7 Jun 1974 di Kuala Lumpur.

Dilahirkan di Teluk Intan, Perak, Mohammed Hanif menjadi Ketua Polis Melaka pada 7 September 1970, dan Ketua Polis Selangor pada 6 Disember 1971.

Pada 1 Februari 1973, beliau pernah menjadi Timbalan Ketua Polis Negara, sementara selepas persaraannya beliau dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Memantapkan Pengurusan dan operasi-operasi PDRM 2004-2005.

Selain itu Mohammed Hanif juga dilantik sebagai ahli Panel khas siasatan ke Aminul Rashid Hamzah pada 2010.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram