Ditemui terbaring tak sedarkan diri, polis Kuala Pilah sahkan jururawat mengaku dipukul, bukan dirompak


  • 112
  • Sabtu, 20 Apr 2024

Seorang jururawat wanita ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi Jalan Simpang Tiga Dangi, Johol, Negeri Sembilan pada Jumaat malam.

SEORANG jururawat wanita lengkap beruniform ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi Jalan Simpang Tiga Dangi, Johol, Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Jumaat malam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa yang berusia 30-an ditemui tertiarap dan kasut tertanggal di luar keretanya dengan enjin masih hidup.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab dilaporkan berkata, mangsa mengalami luka pada kepala akibat dipukul.

BACA LAGI: [VIDEO] Baru beli rumah sudah ada macam-macam masalah termasuk dinding berlubang

“Pihak kami menerima laporan kira-kira pukul 11 malam yang memaklumkan orang awam menemui seorang jururawat wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai dirompak.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk diberikan rawatan lanjut,” katanya.

BACA LAGI: Raya di KL tetap meriah, Erma Fatima hidupkan suasana beraya bersama keluarga

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di HTAN menuju ke arah Dangi, sebelum kejadian berlaku di lokasi.

“Buat masa ini mangsa masih dirawat dan kami masih mendapatkan keterangan lanjut daripadanya mengenai kejadian sebenar.

“Berdasarkan keterangan awal, mangsa memaklumkan tidak dirompak sebaliknya hanya dipukul di kepala. Malah siasatan di lokasi juga mendapati tiada barang peribadi mangsa yang hilang,” katanya.

Syahrul Anuar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram